Nyata keberani­an dan usaha Mohd. Nadzri Esa, 34, sejak lima tahun lalu kian membuahkan hasil apabila kini mampu meme­nuhi permintaan tempatan biarpun terpaksa bercuti rehat hanya sehari dalam sebulan.

Dia menceburi penghasilan tauhu, iaitu produk hiliran daripada kacang soya selepas memberanikan diri membeli peralatan terpakai daripada seorang pengusaha Cina pada tahun 2011.

“Ketika itu saya bekerja di kilang papan di Labis dan nekad membeli peratatan itu menggunakan wang simpanan sebanyak RM7,000 walaupun tidak mempunyai pengetahuan memproses tauhu.

“Saya bersyukur kerana peng­usaha tauhu tersebut yang tidak mahu lagi menjalankan per­u­sahaan itu sudi berkongsi ilmu dan selama sebulan saya berguru dengannya sebelum berani memulakan usaha sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Mohd. Nadzri mengakui malu dan janggal pada peringkat awal pembabitannya, apatah lagi terpaksa menumpang di suatu sudut tepi Pasar Awam Labis untuk memasarkan produknya dan bersaing dengan pengusaha kaum Cina yang telah bertapak sekian lama.

Namun berkat kesabaran, kini usahanya berbaloi apabila tauhu yang dihasilkan semakin mendapat sambutan daripada pelanggan bukan sahaja dalam kalangan orang Melayu, malah daripada kaum Cina dan India.

Seiring dengan peningkatan permintaan, dia meminta bantuan adiknya Mohd. Izzuddin, 28, untuk bersama-sama me­nguruskan perniagaan berkenaan dan kini mereka mampu menjual antara 1,000 hingga 1,500 tauhu pada harga 40 sen sekeping secara borong dan 50 sen secara runcit setiap hari.

Nyata usaha Mohd. Nadzri turut mendapat perhatian Jabatan Pertanian Segamat yang me­nyalurkan bantuan untuk membina sebuah bangunan serta beberapa mesin pada 2013 bagi membolehkannya mengembangkan lagi perniagaan tersebut.

Sementara itu, Mohd. Izzuddin turut mengakui lebih selesa bekerja membantu perniagaan abangnya kerana mempunyai le­bih banyak masa untuk keluarga, iaitu hanya beberapa jam untuk membuat tauhu berbanding kerja sebagai pemandu lori sebelum ini.

Setiap hari mereka berdua bangun pukul 4.30 pagi untuk membersih dan merendam kacang soya bagi melembutkannya di bengkel bersebelahan rumah ibu bapa mereka.

Selepas itu, dia akan membantu abangnya membuat persiapan untuk berniaga di Pasar Awam Labis bermula pukul 6 hingga 8.30 pagi dan kemudian me­lakukan tugas rutin, iaitu me­ngisar kira-kira 50 kilogram kacang soya yang sudah direndam untuk mendapatkan air kacang soya yang merupakan bahan asas membuat tauhu bermula pukul 9 pagi dan akan siap tiga jam kemudian.

Izzuddin berkata, air kacang soya kemudiannya akan dimasak sehingga mendidih sebelum dicampurkan dengan sejenis bahan untuk membekukannya sebelum boleh dituang ke dalam pencetak khas bagi menghasilkan tauhu yang sedia dipasarkan.

“Selain membuat tauhu, kami juga membekalkan air kacang soya kepada beberapa penjaja serta penduduk di sekitar Labis selain menerima tempahan daripada mereka yang mahu membeli taufu fa, terutamanya semasa bulan Ramadan atau majlis tertentu.

“Sebenarnya proses menghasilkan air kacang soya, taufu fa dan tauhu adalah sama sahaja kerana air kacang soya yang siap dimasak sudah boleh dipasarkan sebagai air kacang soya, manakala taufu fa adalah air kacang soya yang sudah beku dan tauhu pula taufu far yang dicetak dan dikeraskan selama beberapa jam,” katanya.